MENU

Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah adalah sebuah majlis tempatan yang telah di tubuhkan pada tahun 1953. Bermula dari sebuah pusat pentadbiran kecil yang kemudiannya digabungkan menjadi Majlis Tempatan, kini Johor Bahru Tengah telah mencipta sejarah sekali lagi apabila diisytiharkan sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf Perbandaran.

Kepesatan pembangunan di Metropolitan Johor Bahru memberi kesan secara langsung kepada kawasan Johor Bahru Tengah. Keluasan bagi kawasan sebelum perbandaran adalah 303.5 kilometer persegi. Manakala keluasan kawasan selepas perbandaran pula adalah 338.5 kilometer persegi.

Kriteria utama ini menjadikan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah berkemampuan dan berkeupayaan dalam menganjurkan perancangan pembangunan yang merangkumi pelbagai aspek termasuklah pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan sosio-ekonomi, pembangunan pengindahan, pembangunan pelancongan dan pembangunan teknologi maklumat (IT).

Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah terbahagi kepada 2 zon utama iaitu Zon Timur dan Zon Barat. Zon Timur adalah merangkumi kawasan Ulu Tiram, Masai, Plentong, manakala Zon Barat terdiri dari kawasan Skudai, Lima Kedai, Gelang Patah, Kangkar Pulai dan Ulu Choh dengan jumlah penduduk seramai 525, 351 orang.

Kini Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah memiliki segalanya. Perkembangan ini menjadikannya sebagai sebuah kawasan tumpuan masyarakat sama ada bagi tujuan penempatan mahu pun tempat untuk mencari rezeki.

Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah akan berusaha lebih gigih bagi mencapai sebuah organisasi peneraju kemajuan, berterusan selaras dengan kehendak pelanggan untuk menjadi penguasa yang berwibawa dalam mewujudkan perbandaran yang terancang, berbudaya, indah dan sejahtera. Semoga Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah akan mencapai kejayaan-kejayaan yang lebih besar di masa-masa akan datang.